BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Friday, July 29, 2011

Teruskan Membuat Kebaikan



Tidak dinafikan kadang-kala, setiap kebaikan yang kita buat, kita inginkan penghargaan, dan ucapan terima kasih. Kita bukan dambakan namun pasti ada sekelumit rasa ingin dihargai jauh di sudut hati kita. Kebaikan juga adalah refleksi keprihatinan kita sama ada pada sesuatu, seseorang, atau apa sahaja.
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Surah Al-Imran 3: 104)
Dalam bersahabat, ada kalanya kita tidak dihargai walaupun setelah kita ekspresikan keprihatinan yang mendalam terhadapnya kerana sayangnya kita kepada dia. Mungkin kerana kita tidak dilihat berharga, tidak mulia, tidak berilmu, dan mungkin tidak setaraf untuk bersahabat dengannya. Pasti anda pernah sayangkan seorang sahabat yang sangat mendalam kerana terlalu menghargai dia dalam hidup anda apetah lagi, kerana dia jugalah anda mula mengenal Allah tetapi dia tidak dapat merasai dan menghargai kebaikan anda padanya kerana dia hanya menganggap anda sahabat biasa. Tiada istilah sahabat istimewa padanya terhadap anda. 
Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik, melainkan balasan yang baik juga?
(Surah Ar-Rahman 55: 60)
Tabahkanlah dirimu wahai sahabatku kerana ketika itu, dirimu sedang belajar erti keikhlasan dalam bersahabat. Ketika usaha dan kerjamu dalam satu organisasi tidak dinilai, dirimu sedang belajar erti ketulusan. Jangan pernah rasa gusar, jangan pernah rasa resah sebaliknya teruskan membuat kebaikan. 
Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah Al-Baqarah 2: 148)
Sentiasalah beringat, biarpun manusia tidak menghargai kebaikanmu tetapi Yang Maha Esa sangat menghargai segala apa yang kau lakukan untuk-Nya. Bandingkanlah segala nikmat yang Dia berikan pada kita, tetapi sebanyak manakah kita mengingati Dia dalam kerja seharian kita? Juga sebanyak manakah kita telah berterima kasih kepada-Nya?
Terima kasih ya Allah, Kau berikan aku makan pada hari ini.
Terima kasih ya Allah, Kau permudah urusan aku pada hari ini.
Terima kasih ya Allah, Kau berikan aku keselesaan untuk tidur.
Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya. (Surah Ibrahim 14: 34)



Bagiku, syukur dan berterima kasih itu lain rasanya, lain gelombangnya. Bayangkan orang yang telah dirimu berikan pertolongan berterima kasih kepadamu. Alangkah berharganya ungkapan terima kasih itu kan dirimu dapat rasakan. Pasti kita akan rasa dihargai dan lebih ingin memberi pertolongan kepadanya untuk masa akan datang.
Teladanilah kisah Rasulullah SAW dengan pengemis buta Yahudi:-
“Wahai saudaraku! Jangan engkau dekati Muhammad itu. Dia orang gila. Dia pembohong. Dia tukang sihir. Jika engkau mendekatinya, engkau akan dipengaruhinya dan engkau akan menjadi seperti dia,” kata seorang pengemis buta Yahudi berulang-ulang kali di satu sudut pasar di Madinah pada setiap pagi sambil tangannya menadah meminta belas orang yang lalu-lalang.
Orang yang lalu-lalang di pasar itu ada yang menghulurkan sedekah kerana kasihan malah ada juga yang tidak mempedulikannya langsung.
Pada setiap pagi, kata-kata menghina Rasulullah SAW itu tidak lekang daripada mulutnya seolah-olah mengingatkan kepada orang ramai supaya jangan terpedaya dengan ajaran Rasulullah SAW. Seperti biasa juga, Rasulullah SAW ke pasar Madinah. Apabila baginda sampai, baginda terus mendapatkan pengemis buta Yahudi itu lalu menyuapkan makanan ke mulutnya dengan lembut dan bersopan tanpa berkata apa-apa.
Pengemis buta Yahudi yang tidak pernah bertanya siapakah yang menyuapkan itu begitu berselera sekali apabila ada orang yang baik hati memberi dan menyuapkan makanan ke mulutnya.
Perbuatan baginda itu dilakukannya setiap hari sehinggalah baginda wafat. Sejak kewafatan baginda, tidak ada sesiapa yang sudi menyuapkan makanan ke mulut pengemis itu setiap pagi.
Pada satu pagi, Saidina Abu Bakar ra pergi ke rumah anaknya, Siti Aisyah yang juga merupakan isteri Rasulullah SAW untuk bertanyakan sesuatu kepadanya.
“Wahai anakku Aisyah, apakah kebiasaan yang Muhammad lakukan yang aku tidak lakukan?”, tanya Saidina Abu Bakar ra sebaik duduk di dalam rumah Aisyah.
“Ayahandaku, boleh dikatakan apa sahaja yang Rasulullah lakukan, ayahanda telah lakukan kecuali satu,” beritahu Aisyah sambil melayan ayahandanya dengan hidangan yang tersedia.
“Apakah dia wahai anakku, Aisyah?”
“Setiap pagi Rasulullah akan membawa makanan untuk seorang pengemis buta Yahudi di satu sudut di pasar Madinah dan menyuapkan makanan ke mulutnya. Sejak pemergian Rasulullah, sudah tentu tidak ada sesiapa lagi yang menyuapkan makanan kepada pengemis itu,” beritahu Aisyah kepada ayahandanya seolah-olah kasihan dengan nasib pengemis itu.
“Kalau begitu, ayahanda akan lakukan seperti apa yang Muhammad lakukan setiap pagi. Kamu sediakanlah makanan yang selalu dibawa oleh Muhammad untuk pengemis itu,” beritahu Saidina Abu Bakar ra kepada anaknya.
Pada keesokan harinya, Saidina Abu BAkar ra membawakan makanan yang sama seperti apa yang Rasulullah SAW bawakan untuk pengemis itu sebelum ini. Setelah puas mencari, akhirnya beliau bertemu juga dengan pengemis buta itu. Saidina Abu Bakar ra segera menghampiri dan terus menyuapkan makanan ke mulut pengemis itu.
“Hei… Siapakah kamu? Berani kamu menyuapku?” Pengemis buta itu mengherdik Saidina Abu Bakar ra. Pengemis buta itu terasa lain benar perbuatan Saidina Abu Bakar ra itu seperti kebiasaan.
“Akulah orang yang selalu menyuapmu setiap pagi,” jawab Saidina Abu Bakar ra sambil memerhatikan wajah pengemis buta itu yang nampak marah.
“Bukan! Kamu bukan orang yang selalu menyuapku setiap pagi. Perbuatan orang itu terlalu lembut dan bersopan. Aku dapat merasakannya, dia terlebih dahulu akan menghaluskan makanan itu kemudian barulah menyuap ke mulutku. Tapi kali ini aku terasa sangat susah aku hendak menelannya,” balas pengemis buta itu lagi sambil menolak tangan Saidina Abu Bakar ra yang masih memegang makanan itu.
“Ya, aku mengaku. Aku bukan orang yang biasa menyuapmu setiap pagi. Aku adalah sahabatnya. Aku menggantikan tempatnya,” beritahu Saidina Abu Bakar ra sambil mengesat air matanya yang sedih.
“Tetapi ke manakah perginya orang itu dan siapakah dia?”, tanya pengemis buta itu.
“Dia ialah Muhammad Rasulullah. Dia telah kembali ke rahmatullah. Sebab itulah aku yang menggantikan tempatnya,” jelas Saidina Abu Bakar ra dengan harapan pengemis itu berpuas hati.
“Dia Muhammad Rasulullah?”, kata pengemis itu dengan suara yang terkedu.
“Mengapa kamu terkejut? Dia insan yang sangat mulia,” beritahu Saidina Abu Bakar ra. Tidak semena-mena pengemis itu menangis sepuas-puasnya. Setelah agak reda, barulah dia bersuara.
“Benarkah dia Muhammad Rasulullah?”, pengemis buta itu mengulangi pertanyaannya seolah-olah tidak percaya dengan berita yang baru didengarnya itu.
“Ya benar. Kamu tidak percaya?”
“Selama ini aku menghinanya, aku memfitnahnya tetapi dia sedikit pun tidak pernah memarahiku malah dia terus juga menyuap makanan ke mulutku dengan sopan dan lembut. Sekarang aku telah kehilangannya sebelum sempat memohon ampun kepadanya,” ujar pengemis itu sambil menangis teresak-esak.
“Dia memang insan yang sangat mulia. Kamu tidak akan berjumpa dengan manusia semulia itu selepas ini kerana dia telah pun meninggalkan kita,” beritahu Saidina Abu Bakar ra.
“Kalau begitu, aku mahu kamu menjadi saksi. Aku ingin mengucapkan kalimah syahadah dan aku memohon keampunan Allah,” ujar pengemis buta itu.
Selepas peristiwa itu, pengemis itu telah memeluk Islam di hadapan Saidina Abu Bakar ra. Keperibadian Rasulullah SAW telah memikat jiwa pengemis itu untuk mengakui ke-Esaan Allah.

Lihatlah betapa tabah dan ikhlasnya baginda membuat kebaikan kepada pengemis itu. Baginda masih melakukan kebaikan kepada pengemis itu sekalipun dicaci, dimaki, difitnah dan tidak dihargai sehinggalah baginda wafat barulah pengemis itu sedar kekhilafannya. Tidak sekalipun baginda mengharap penghargaan juga mohon maaf daripada pengemis malah baginda terus memberi tanpa menerima. Dengan kebaikan itulah yang membuat pengemis itu tersentuh lantas memeluk Islam kerana luluh dan cairnya hati dia dengan kebaikan baginda padanya. 
Dari Hakim bin Hizam r.a katanya:”Tangan yang di atas (tangan yang memberi) lebih baik dari tangan yang di bawah (tangan yang menerima atau meminta). Sesiapa yang memohon dipelihara (agar ia tidak sampai meminta-minta) Allah akan memeliharanya dan sesiapa yang memohon dicukupkan (agar ia tidak bergantung selain kepada Allah) Allah akan mencukupkannya.” (al-Bukhari)
Berusahalah untuk lebih banyak memberi daripada menerima pemberian orang lain. Perbuatan memberi dengan diiringi hati yang tulus akan membuatkan hati seseorang berasa tenang dan damai. Mereka yang memberi tanpa mengingat akan diberkati.
Seseorang datang menemui Rasulullah saw dan bertanya, “Wahai Rasul, siapakah orang yang paling dicintai Allah?” Rasulullah menjawab, “Orang yang paling dicintai Allah adalah yang paling bermanfaat untuk orang lain, dan perbuatan yang paling dicintai Allah adalah kegembiraan yang engkau masukkan ke dalam hati seorang Muslim dengan menghilangkan kesusahannya atau membayar hutangnya atau mengusir rasa laparnya. Dan aku berjalan untuk memenuhi kebutuhan saudaraku lebih aku sukai dari I’tikaf di masjid ini (Masjid Nabawi) selama satu tahun. Juga, barang siapa menahan amarah dan bila berkehendak melupakannya, Allah akan mengisi hatinya dengan keridhaan, dan barang siapa berjalan bersama saudaranya dalam sebuah keperluan hingga menyelesaikan untuknya, Allah akan menguatkan kakinya di hari kaki-kaki tergelincir.”
Teruskanlah membuat kebaikan wahai sahabat. Walau apapun kebaikan yang anda lakukan, biarpun manusia tidak menghargaimu, ingatlah Allah sentiasa dekat, sentiasa ada untukmu. Sentiasa menghargaimu bahkan Dialah yang sentiasa memberi kebaikan kepadamu selama dirimu hidup hingga mati. Tidak pernah Dia mengharap penghargaanmu malah Dia sentiasa memberimu nikmat kerana Dia sayangkan kamu juga menerima taubatmu walau jutaan kali kau melakar taubat. Sungguh Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang juga Maha Penerima Taubat.
Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan tenang (Surah Ar-Ra'ad 13:28)



0 comments: